Saturday 15 May 2010

TRIZ - Penyelesaian Masalah Secara Inventif

Pendahuluan

Istilah TRIZ (Teoriya Resheniya Izobreatatelskikh Zadatch) saya kekalkan kerana, selain kaedah ini berasal dari Russia, ianya juga telah begitu terkenal di seluruh dunia. Dalam Bahasa Inggeris ialah “Theory of Inventive Problem Solving” dan dalam Bahasa Melayu saya terjemahkan menjadi Penyelesaian Masalah Secara Inventif. Mungkin ada yang bertanya kenapa saya menggunakan Bahasa Melayu dalam menulis tajuk ini? Sebenarnya saya ingin sekali menceritakan semula semuanya ini dalam Bahasa Ibunda agar boleh difahami secara mendalam dan ianya akan menjadi sebuah karya dalam bahasa sendiri.

Juga ingin saya masukkan pandangan Islam dalam persoalan penyelesaian masalah, inovasi, kreativiti dan sebagainya agar apa yang kita lakukan tidak lari dari sudut pandang Islam dan mudah-mudahan ianya bernilai ibadah dari pandangan Allah s.w.t. Pada hakikatnya semua ilmu berasal dari Allah dan manusia tidak upaya menandingi ilmu Allah. Secara kebetulan orang Rusia yang mula-mula mengemukakan persoalan ini tapi kajian kita belum berakhir kerana mungkin saja ada sarjana Islam lampau yang telah mengemukakan idea yang sama tapi dalam konteks yang lain dan bacaan kita belum sampai ke situ. Mudah-mudahan ada penemuan yang lebih unggul dalam khazanah ilmu Islam dalam persoalan yang kita kemukakan ini.

Ketika menulis semula TRIZ ke dalam Bahasa Melayu, saya merujuk buku “TRIZ – Systematic Innovation in Manufacturing” karya Dr. Yeoh Teong San, Yeoh Tay Jin dan Song Chia Li, terbitan First Fruit Publishing Sdn Bhd, keluaran tahun 2009 sebagai buku rujukan utama dan lain-lain rujukan yang disenaraikan dalam bahagian rujukan nanti.

Dalam tahun 1940an, Jurutera Paten Rusia bernama Genrich Altshuller mendapati bahwa masaalah, penyelesaian dan corak evolusi teknikal berulang merentasi sains dan industri. Ini berdasarkan kepada sebuah kajian terhadap 200,000 paten yang kemudian difokuskan kepada 40,000 paten yang inovatif. Inovasi-inovasi ini menggunakan kesan saintifik di luar daripada bidang di mana sesuatu masaalah itu timbul.
Terdapat beberapa penemuan yang menarik seperti yang diceritakan oleh Altshuller (2002). Didapati bahwa sistem-sistem kejuruteraan bertambah maju menghampiri kesempurnaan dengan mengatasi kontradiksi-kontradiksi dalaman. Evolusi sistem-sistem kejuruteraan ini dipacu oleh hukum bermatlamat. Terdapat corak-corak tertentu bagi membantu perkembangan sistem-sistem kejuruteraan selanjutnya dengan mengkaji tren sesuatu peristiwa itu berlaku.

Masaalah dalam suatu sistem mungkin berulang dalam sistem-sistem yang lain, jadi penyelesaian yang sudah digunapakai dalam sistem-sistem yang lain dapat dicuba untuk sistem-sistem baru. Pati bagi semua penyelesaian itu dipadukan dalam empat puluh (40) prinsip-prinsip yang inventif. Satu per satu prinsip tersebut akan dihuraikan agar kita dapat menggunakannya dalam kehidupan sehari-hari. Satu lagi penemuan yang menarik ialah sifat inventif dalam diri sesorang dapat diajar atau dipelajari oleh sesiapa saja.

TRIZ ialah suatu filosofi, suatu proses, dan juga suatu siri alat-alat yang berasaskan konsep menyelesaikan percanggahan- percanggahan. Percanggahan kejuruteraan adalah persoalan asas dalam banyak isu yang terdapat kini yang memerlukan tolak ansur (compromise) atau “trade-off” bagi mengimbangi antara sifat-sifat yang semakin membaik dan sifat-sifat yang semakin memburuk. Inilah yang berlaku dalam persekitaran sektor pembuatan dan lain-lain kini dan kita terpaksa hidup dalam keadaan yang sedemikian namun dengan kemajuan teknologi dan penggunaan alat yang terlalu dipaksakan, alat-alat itu lama kelamaan akan rosak dan makin memburukkan keadaan. Dalam persekitaran pembuatan kita akan meliputi sebarang jenis industri yang menggunakan alat dalam proses pembuatan. Konsep percanggahan dan bagaimana kita menyelesaikan percanggahan tersebut akan disentuh dalam perbincangan seterusnya.

Percambahan minda dan had-hadnya

Ramai menyedari bahwa proses penyelesaian masaalah biasanya menggunakan cara percambahan minda (brainstorming). Sekumpulan pakar akan bertemu dan akan mencambahkan minda bagi mencari penyelesaian bagi sesuatu masaalah. Kaedah percambahan minda ini ada hadnya kerana kualiti dan keberkesanan penyelesaiannya sangat bergantung kepada siapa yang hadir dalam sesi percambahan minda tersebut. Penyelesaian yang baik dan tepat akan lahir jika terdapat pakar yang berilmu dan berpengalaman dalam sesi percambahan minda tersebut, jika tidak kita akan menghasilkan penyelesaian yang kurang tepat dan kadang-kadang salah. Walau pun sesuatu sesi percambahan minda itu dihadari oleh pakar-pakar namun kita masih juga menghadapi apa yang kita sebut sebagai “Psychological Inertia”, suatu keadaan penolakan kepada perubahan kerana manusia sudah biasa dengan sesuatu kaedah dan mereka enggan untuk berubah dengan memberi alasan takut terjadi ini dan terjadi itu jika sesuatu penyelesaian itu dilakukan.

2 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Prof., izinkan saya menggunakan bahan-bahan prof sebagai rujukan ya. Saya guru Reka Bentuk dan Teknologi. Topik Triz ini sudah diperkenalkan di sekolah-sekolah menengah untuk pelajar tingkatan 2.
    Terima kasih.

    ReplyDelete