Sunday 9 October 2011

Menyongsong Tahun Inovasi 2012

Gembira sekali mendengar pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2012 bahwa tahun 2012 ialah Tahun Inovasi. Ucapan itu hanya tinggal ucapan dan akan berlalu bersama angin yang selalu bertiup, sekiranya masyarakat umum tidak menterjemahkan makna ucapan itu dalam sesesuatu yang bermakna dalam kehidupan seharian. Samalah seperti pada awal setiap tahun ditetap satu keazaman, namun tiada tindakan susulan, maka azam itu hanya menjadi kenangan apabila tiada tindakan konkrit dilakukan.

Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), atau “Malaysian Foundation for Innovation”, telah ditubuhkan pada 20 Oktober 2008 dan telah dipersetujui oleh Jamaah Menteri Malaysia pada 7 November 2008 sebagai salah satu alat menterjemahkan maksud di atas.

Visi YIM ialah bagi mempromosi dan menumbuhkan kreativiti dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia, terutama memfokuskan kepada kanak-kanak dan pemuda.

Pada 15 – 16 November 2011 nanti akan diadakan Forum Inovasi Kuala Lumpur di Pusat
Dagangan Dunia Putra (Putra World Trade Centre), Kuala Lumpur.

Semua rakyat Malaysia ingin melihat perubahan yang menyeluruh dan komprehensif. Inginkan sebuah negara Malaysia yang matang dalam politik, kerajaan dan kehakiman. Telus dan adil dalam layanan kepada semua lapisan masyarakat, tiada “double standard” dalam apa pun keadaan. Faham mana yang utama dan mana yang remeh. Seharusnya inovasi difokuskan kepada membina rakyat Malaysia menjadi rakyat bermentaliti kelas pertama dengan fasilitas kelas pertama yang sedang diujudkan.

Mungkin kita boleh meletakkan satu visi yang berbunyi, “mencipta kesejahteraan masyarakat Malaysia yang aman, kreatif, inovatif dan berdaya saing tinggi”, perkataan inovasi bagi Malaysia mungkin boleh dinyatakan sebagai “MyInovasi”. Misinya boleh berbentuk, “membentuk sekelompok rakyat Malaysia yang dapat memimpin masyarakat umum agar tercapainya kemajuan yang lestari melalui MyInovasi dengan mencipta jaringan kerjasama dalam berbagai bidang keutamaan Malaysia”.

Kita ingin membangun manusia Malaysia yang bertamadun, berbudaya ilmu yang mantap dan mempunyai karakter yang ampuh dan tahan lasak dalam segala segi. Kemajuan material akan musnah apabila manusia-manusia yang berada di dalamnya bermoral bejat. Suasana politik dan pemerintahan yang materialistik dan mementingkan diri dan kelompok, masyarakat yang tidak tahu arah dan menerima pendidikan yang pincang dan tidak terarah. Jangan sampai prinsip-prinsip perlembagaan dan Negara dipijak-pijak oleh manusia durjana yang tidak bertamadun. Kita memerlukan penghijrahan total dalam pemikiran dan budaya hidup. Jangan sampai amalan Islam berada di negara-negara bukan Islam seperti Jepun, Korea dan Jerman. Kita mahu amalan Islam juga berada dan berkembang maju di Malaysia melalui MyInovasi. Inovasi jangan hanya berfokus kepada material semata-mata, namun mesti ditumpukan kepada membina manusia yang bertamadun, pencinta ilmu, adil, dan pasrah kepada Allah sepenuhnya.

Contoh terbaik dalam inovasi berada pada konsep hijrah yang berlaku dalam proses perkembangan Islam yang bermula di Mekah selama 13 tahun dan dilanjutkan di Medinah selama 10 tahun lagi. Rasulallah s.a.w membina karakter ummat seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab dan lain-lain. Karakter yang selalu menilai diri apakah setiap tindakan yang dilakukan menuju kepada kecintaan Allah Maha Pencipta Alam ini? Sekiranya tidak mereka akan segera berubah haluan bagi menuju Allah.

Inovasi secara luas ialah sebuah hijrah daripada keburukan kepada kebaikan.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 10-10-11