Wednesday 19 May 2010

Psychological Inertia (Inersia Psikologi)

Inersia Psikologi dan kesannya terhadap Percambahan Minda Inovatif

Inersia Psikologi menangani tentangan terhadap perubahan yang disebabkan oleh faktor manusia. Inersia ini melahirkan banyak masaalah terhadap percambahan minda yang inovatif dalam proses penyelesaian masaalah. Ini berkaitan dengan apa yang penah dipelajari atau dialami seseorang sebelum ini, pantang larang yang pernah dia hadapi dalam bentuk undang-undang, peraturan dan amalan harian.

Dia akan menentang perubahan kerana belum pernah dia berfikir ke arah itu atau dia pernah diindoktrinasi oleh berbagai media sama ada media cetak atau elektronik sehingga minda rasionalnya menjadi kabur tentang kebenaran. Inersia ini akan membentuk perbatasan dan halangan-halangan dalam pemikiran seseorang.

Otak kita seolah-olah telah disambung terus kepada suatu pencarian “Apakah ini pernah saya lihat?” atau “Apakah ini pernah saya alami?” dan sebagainya ketika kita ingin mencuba untuk menyelesaikan suatu permasaalahan yang baharu atau suatu persoalan yang belum pernah diselesaikan selama ini. Kalau kita boleh mengatasi inersia psikologi ini alangkah mudahnya kita menjalani proses percambahan minda dalam sesebuah proses penyelesaian masaalah.

Sebagai contoh, apabila kita ditunjukkan sebuah gambar maka yang pertama terlintas di fikiran kita ialah apakah kita pernah melihat gambar ini. Otak kita akan cuba mengaitkan pengalaman lalu dengan apa yang dihadapi dan melihat apakah kita dapat cernakan daripada gambar yang diberikan. Dalam sebuah gambar mungkin ada beberapa gambar lain yang kita tidak boleh melihat kerana keterbatasan imaginasi kita. Gambar yang terkenal ialah gambar seorang wanita cantik pada sekali pandang, namun apabila kita amati secara lebih mendalam pada gambar wanita cantik itu terselit gambar seorang perempuan tua. Di sini kita memerlukan kemahiran memerhati yang tajam.

Beberapa kajian telah dilakukan untuk mencari kaitan antara aras kreativiti dengan umur. Didapati bahwa puncak kreativiti berlaku antara umur 14 hingga 30 tahun. Selepas umur 30 tahun aras kreativiti akan menurun. Menjadi harapan penulis agar dengan menggunakan Kaedah Penyelesaian Masalah Secara Inovatif ini remaja, belia dan pelajar-pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga ke peringkat universiti dapat dibangkitkan daya kreativiti mereka secara inovatif. Melalui cara ini negara kita dapat membangun dalam acuan kita sendiri berdasarkan lunas-lunas Islam yang tulen dan diredhai Allah s.w.t.

Sesungguhnya peranan inersia psikologi (hambatan psikologi) yang mengaitkan antara fungsi otak dengan pengalaman dan pengetahuan dalam diri seseorang akan menjadi ketara melalui proses penyelesaian masaalah. Hambatan psikologi ini sebenarnya menjadi batu penghalang kepada kelahiran kreativiti baru dan penyelesaian alternatif. Pada akhirnya hambatan psikologi itu membantut pencapaian keadaan ideal yang ingin kita raih. Penggunaan TRIZ (Kaedah Penyelesaian Masaalah Secara Inovatif) dalam menjana proses percambahan minda secara sistematik akan membantu pengamal-pengamalnya mencari berbagai-bagai alternatif bagi menyelesaikan sesuatu masaalah yang dihadapi.

Semoga kaedah ini akan membantu kita semua dalam menyelesaikan apa saja masaalah yang kita hadapi secara kreatif, proaktif dan inovatif.

Dalam perbincangan berikutnya kita akan huraikan secara lebih mendalam mengenai 39 parameter sistem dan 40 prinsip inovatif. Parameter dan prinsip-prinsip tersebut boleh diubahsuai mengikut keperluan masing-masing bidang kerana semua itu hanyalah teori dan kreativiti manusialah yang dapat memantapkannya. Semoga anda terus membacanya.

No comments:

Post a Comment