Saturday 11 February 2012

Suatu Pengenalan kepada Penyelesaian Masalah Melalui TRIZ

Istilah TRIZ diambil daripada bahasa Rusia, “Teoriya Resheniya Izobreatatelskikh Zadatch (TRIZ)” dan dalam bahasa Inggeris lebih dikenali sebagai, “Theory of Inventive Problem Solving (TIPS)”.

Pengasas kepada TRIZ ialah Genrich Altshuller, seorang pengkaji hak paten berbangsa Rusia. Beliau mulai mengkaji trend dalam hak paten sejak tahun 1940 dan meghasilkan satu kaedah penyelesaian masalah yang dikenali sebagai TRIZ. Beliau mahu agar teori asalnya dikekalkan dan pengamal TRIZ bersetuju untuk menamakan teori beliau sebagai TRIZ klasik (Classical TRIZ). Teori-teori TRIZ yang dihasilkan selepas itu akan dikategorikan sebagai TRIZ moden atau TRIZ kontemporari.

Altshuller, sebagai seorang pegawai yang dipertanggungjawabkan dengan tugas mengurus paten telah meneliti lebih daripada 200,000 paten dan beliau dapati sebanyak 40,000 paten boleh dikategorikan sebagai paten inovatif. Daripada situ beliau telah berhasil mengemukakan 40 prinsip inventif yang digunakan hingga sekarang.

Buku asas mengenai TRIZ yang dikarang oleh Yeoh Teong San, Yeoh Tay Jin dan Song Chia Li (2009), bertajuk “TRIZ Systematic Innovation in Manufacturing”, terbitan Firstfruit Publishing, saya gunakan sebagai buku asas bagi mengadakan bengkel asas TRIZ aras satu. Walau pun buku ini berasaskan inovasi kejuruteraan, namun buku ini boleh kita gunakan sebagai asas dengan membuat kiasan kepada bidang-bidang lain berasaskan parameter dalam bidang lain yang selari dengan parameter dalam kejuruteraan.

Dalam kajian awal beliau, Altshuller mendapati ada dua perkara penting, iaitu penemuan atau inovasi yang ketara hadir apabila kita berupaya menyelesaiakan suatu kontradiksi yang sukar. Kedua, prinsip inventif yang dugunakan dalam menyelesaikan kontradiksi digunakan berkali-kali dalam industry dan teknologi yang berbeza-beza yang tidak disedari oleh pencipta itu dalam bidang yang berbeza.

Beliau berpendapat, kebanyakan masalah (kontradiksi) teknikal yang mengenai manusia biasa, jika digeneralisasikan (diumumkan) secukupnya, sudah pun diselesaikan oleh orang lain dalam bidang yang lain.

Biasanya, apabila kita menghadapi sesuatu masalah kita akan selesaikan melalui cara cuba jaya “trial and error” dan kadang-kadang mengambil masa bertahun-tahun atau pun berbulan-bulan, namun dengan menggunakan kaedah TRIZ masalah itu dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

Kini terdapat lebih daripada 400 prinsip inventif TRIZ di dunia, juga sudah ada perisian yang boleh digunakan bagi membantu pengamal TRIZ iaitu “Innovation Workbench” yang boleh dibeli di pasaran dengan harga yang mahal. Saya berpendapat kita perlu belajar TRIZ daripada peringkat asas agar kita dapat memahami apa yang kita lakukan.

Pada asasnya setiap system yang dialami manusia atau organisasi akan bergerak kepada kesempurnaan dengan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi secara tuntas, bukan dengan cara menyapu masalah ke bawah karpet.

Sistem-sistem yang berada di luar suatu system yang bermasalah, kita namakan sebagai super-system. Menggunakan secara maksima super-system akan membantu kita mengurangkan kos pada system tertentu. Super-system juga boleh merupakan sumber yang boleh digunakan oleh kita untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi, TRIZ mengajar kita untuk menyelesaikan masalah secara tuntas, bukan menyorok masalah agar orang lain tidak tahu dan kita hidup dengan masalah yang terus membelenggu kita.

Dalam bengkel dua hari penuh, peserta akan diajar bagaimana menggunakan TRIZ untuk menyelesaikan masalah secara tuntas.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 12 Feb 2012.