Thursday 14 June 2012

Bengkel TRIZ Dua Hari - Apakah yang akan anda perolehi?

Pengenalan
TRIZ sebuah akronim dalam Bahasa Rusia yang maknanya dalam Inggeris “Theory of Inventive Problem Solving (TIPS)” atau dalam Bahasa Melayu, Teori Penyelesaian Masalah Secara Inventif. Ianya suatu kaedah bagi mencipta inovasi dalam produk, sistem, kaedah dan sebagainya secara sistematik. Caranya ialah dengan menyatakan sesuatu masalah secara umum, kemudian menggunakan kaedah penyelesaian secara umum, sesudah itu memfokus kepada masalah khusus dan penyelesaian khusus. Ini disebut sebagai Masalah Inventif (Inventive Problem).

Dalam TRIZ terdapat 39 parameter, 40 Prinsip Inventif dan 76 penyelesaian yang piawai (standard) yang dapat membantu kita mencipta inovasi dan seterusnya memberikan tambah nilai kepada produk, sistem, kaedah dan sebagainya. TRIZ telah memasuki berbagai bidang dan hampir semua bidang kegiatan manusia walau pun ianya bermula dari bidang kejuruteraan dan daripada kajian paten oleh Genrich Altschuller yang dianggap sebagai Bapak TRIZ Klasik. TRIZ moden dan kontemporari masih terus menjadi bahan kajian sekarang.

Selama dua (2) hari, peserta akan didedahkan dengan teknik ini dan pada akhir bengkel peserta boleh mula menggunakan teknik ini bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh diri sendiri atau organisasi tempat mereka bekerja.

Melalui inovasi kita dapat meningkatkan produktiviti dan sekaligus dapat meningkat nilai diri dan organisasi yang kita wakili.

Tema: Kehidupan yang lebih baik melalui inovasi sistematik TRIZ.

Fasilitator : Prof Madya Dr Ismail Bin Abdullah, Certified TRIZ Instructor Level 1, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.Email: isbah@usim.edu.my, HP: 019-3860824, Office: 06-7986801

Silabus Ringkas:Introduction - What is Systematic Innovation/TRIZ?, TRIZ methodology, history & adoption, Structured Problem Solving Process, TRIZ Models and Tools; Function Analysis, Cause & Effect Chain Analysis, Trimming, S-curves & Trends of Engineering System Evolution (overview), Examples of TRIZ projects, Latihan dalam kumpulan (3 orang tiap kumpulan), Engineering Contradictions, 39 System Parameters, Contradiction Matrix, 40 Inventive Principles, Pembentangan Kumpulan dan perbincangan.

Nota: Mana-mana institusi yang berminat untuk mengadakan Bengkel TRIZ boleh menulis surat kepada:

Dekan
Fakulti Sains dan Teknologi
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Bandar Baru Nilai,
Negeri Sembilan
Tel: 06-7987001, Fax: 06-7987010


Surat ini penting kerana pihak Dekan (jika bersesuaian) boleh memberikan izin keluar kampus kepada fasilitator dan sekaligus dikira sebagai khidmat universiti kepada masyarakat.

Saturday 11 February 2012

Suatu Pengenalan kepada Penyelesaian Masalah Melalui TRIZ

Istilah TRIZ diambil daripada bahasa Rusia, “Teoriya Resheniya Izobreatatelskikh Zadatch (TRIZ)” dan dalam bahasa Inggeris lebih dikenali sebagai, “Theory of Inventive Problem Solving (TIPS)”.

Pengasas kepada TRIZ ialah Genrich Altshuller, seorang pengkaji hak paten berbangsa Rusia. Beliau mulai mengkaji trend dalam hak paten sejak tahun 1940 dan meghasilkan satu kaedah penyelesaian masalah yang dikenali sebagai TRIZ. Beliau mahu agar teori asalnya dikekalkan dan pengamal TRIZ bersetuju untuk menamakan teori beliau sebagai TRIZ klasik (Classical TRIZ). Teori-teori TRIZ yang dihasilkan selepas itu akan dikategorikan sebagai TRIZ moden atau TRIZ kontemporari.

Altshuller, sebagai seorang pegawai yang dipertanggungjawabkan dengan tugas mengurus paten telah meneliti lebih daripada 200,000 paten dan beliau dapati sebanyak 40,000 paten boleh dikategorikan sebagai paten inovatif. Daripada situ beliau telah berhasil mengemukakan 40 prinsip inventif yang digunakan hingga sekarang.

Buku asas mengenai TRIZ yang dikarang oleh Yeoh Teong San, Yeoh Tay Jin dan Song Chia Li (2009), bertajuk “TRIZ Systematic Innovation in Manufacturing”, terbitan Firstfruit Publishing, saya gunakan sebagai buku asas bagi mengadakan bengkel asas TRIZ aras satu. Walau pun buku ini berasaskan inovasi kejuruteraan, namun buku ini boleh kita gunakan sebagai asas dengan membuat kiasan kepada bidang-bidang lain berasaskan parameter dalam bidang lain yang selari dengan parameter dalam kejuruteraan.

Dalam kajian awal beliau, Altshuller mendapati ada dua perkara penting, iaitu penemuan atau inovasi yang ketara hadir apabila kita berupaya menyelesaiakan suatu kontradiksi yang sukar. Kedua, prinsip inventif yang dugunakan dalam menyelesaikan kontradiksi digunakan berkali-kali dalam industry dan teknologi yang berbeza-beza yang tidak disedari oleh pencipta itu dalam bidang yang berbeza.

Beliau berpendapat, kebanyakan masalah (kontradiksi) teknikal yang mengenai manusia biasa, jika digeneralisasikan (diumumkan) secukupnya, sudah pun diselesaikan oleh orang lain dalam bidang yang lain.

Biasanya, apabila kita menghadapi sesuatu masalah kita akan selesaikan melalui cara cuba jaya “trial and error” dan kadang-kadang mengambil masa bertahun-tahun atau pun berbulan-bulan, namun dengan menggunakan kaedah TRIZ masalah itu dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

Kini terdapat lebih daripada 400 prinsip inventif TRIZ di dunia, juga sudah ada perisian yang boleh digunakan bagi membantu pengamal TRIZ iaitu “Innovation Workbench” yang boleh dibeli di pasaran dengan harga yang mahal. Saya berpendapat kita perlu belajar TRIZ daripada peringkat asas agar kita dapat memahami apa yang kita lakukan.

Pada asasnya setiap system yang dialami manusia atau organisasi akan bergerak kepada kesempurnaan dengan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi secara tuntas, bukan dengan cara menyapu masalah ke bawah karpet.

Sistem-sistem yang berada di luar suatu system yang bermasalah, kita namakan sebagai super-system. Menggunakan secara maksima super-system akan membantu kita mengurangkan kos pada system tertentu. Super-system juga boleh merupakan sumber yang boleh digunakan oleh kita untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi, TRIZ mengajar kita untuk menyelesaikan masalah secara tuntas, bukan menyorok masalah agar orang lain tidak tahu dan kita hidup dengan masalah yang terus membelenggu kita.

Dalam bengkel dua hari penuh, peserta akan diajar bagaimana menggunakan TRIZ untuk menyelesaikan masalah secara tuntas.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 12 Feb 2012.

Sunday 9 October 2011

Menyongsong Tahun Inovasi 2012

Gembira sekali mendengar pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2012 bahwa tahun 2012 ialah Tahun Inovasi. Ucapan itu hanya tinggal ucapan dan akan berlalu bersama angin yang selalu bertiup, sekiranya masyarakat umum tidak menterjemahkan makna ucapan itu dalam sesesuatu yang bermakna dalam kehidupan seharian. Samalah seperti pada awal setiap tahun ditetap satu keazaman, namun tiada tindakan susulan, maka azam itu hanya menjadi kenangan apabila tiada tindakan konkrit dilakukan.

Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), atau “Malaysian Foundation for Innovation”, telah ditubuhkan pada 20 Oktober 2008 dan telah dipersetujui oleh Jamaah Menteri Malaysia pada 7 November 2008 sebagai salah satu alat menterjemahkan maksud di atas.

Visi YIM ialah bagi mempromosi dan menumbuhkan kreativiti dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia, terutama memfokuskan kepada kanak-kanak dan pemuda.

Pada 15 – 16 November 2011 nanti akan diadakan Forum Inovasi Kuala Lumpur di Pusat
Dagangan Dunia Putra (Putra World Trade Centre), Kuala Lumpur.

Semua rakyat Malaysia ingin melihat perubahan yang menyeluruh dan komprehensif. Inginkan sebuah negara Malaysia yang matang dalam politik, kerajaan dan kehakiman. Telus dan adil dalam layanan kepada semua lapisan masyarakat, tiada “double standard” dalam apa pun keadaan. Faham mana yang utama dan mana yang remeh. Seharusnya inovasi difokuskan kepada membina rakyat Malaysia menjadi rakyat bermentaliti kelas pertama dengan fasilitas kelas pertama yang sedang diujudkan.

Mungkin kita boleh meletakkan satu visi yang berbunyi, “mencipta kesejahteraan masyarakat Malaysia yang aman, kreatif, inovatif dan berdaya saing tinggi”, perkataan inovasi bagi Malaysia mungkin boleh dinyatakan sebagai “MyInovasi”. Misinya boleh berbentuk, “membentuk sekelompok rakyat Malaysia yang dapat memimpin masyarakat umum agar tercapainya kemajuan yang lestari melalui MyInovasi dengan mencipta jaringan kerjasama dalam berbagai bidang keutamaan Malaysia”.

Kita ingin membangun manusia Malaysia yang bertamadun, berbudaya ilmu yang mantap dan mempunyai karakter yang ampuh dan tahan lasak dalam segala segi. Kemajuan material akan musnah apabila manusia-manusia yang berada di dalamnya bermoral bejat. Suasana politik dan pemerintahan yang materialistik dan mementingkan diri dan kelompok, masyarakat yang tidak tahu arah dan menerima pendidikan yang pincang dan tidak terarah. Jangan sampai prinsip-prinsip perlembagaan dan Negara dipijak-pijak oleh manusia durjana yang tidak bertamadun. Kita memerlukan penghijrahan total dalam pemikiran dan budaya hidup. Jangan sampai amalan Islam berada di negara-negara bukan Islam seperti Jepun, Korea dan Jerman. Kita mahu amalan Islam juga berada dan berkembang maju di Malaysia melalui MyInovasi. Inovasi jangan hanya berfokus kepada material semata-mata, namun mesti ditumpukan kepada membina manusia yang bertamadun, pencinta ilmu, adil, dan pasrah kepada Allah sepenuhnya.

Contoh terbaik dalam inovasi berada pada konsep hijrah yang berlaku dalam proses perkembangan Islam yang bermula di Mekah selama 13 tahun dan dilanjutkan di Medinah selama 10 tahun lagi. Rasulallah s.a.w membina karakter ummat seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab dan lain-lain. Karakter yang selalu menilai diri apakah setiap tindakan yang dilakukan menuju kepada kecintaan Allah Maha Pencipta Alam ini? Sekiranya tidak mereka akan segera berubah haluan bagi menuju Allah.

Inovasi secara luas ialah sebuah hijrah daripada keburukan kepada kebaikan.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 10-10-11

Tuesday 13 July 2010

Membina Lingkungan Kreatif


Pada 23 Jun 2010, kami berkesempatan melawat kilang membuat “turbine” untuk mini-hidro di Bandung. Turbin-turbin itu dibuat dalam berbagai saiz bagi menampung ketinggian air terjun yang dapat menjana arus letrik untuk kegunaan masyarakat setempat. Dengan ketinggian air terjun sekurang-kurangnya 8 meter, 100 watt arus letrik dapat dijanakan. Ketinggian air terjun yang lebih dari itu dapat menjana arus letrik yang lebih besar.

Di Cihanjuang, dalam Daerah Cimahi, Bandung kami dapat melihat bagaimana turbin dipasang dan menjana letrik dan melalui arus letrik yang dihasilkan alat-alat atau mesin lain dapat digerakkan selain daripada pencahayaan rumah, boleh menghidupkan televisyen dan alat-alat pengering bahan pertanian yang lain. Air yang dibendung untuk menghasilkan air terjun yang konsisten dapat mengairi sawah padi atau ladang jagung dan sebagainya.

Di Malaysia, terdapat banyak air terjun yang setiap hari kita melihat airnya mengalir deras dan berterusan. Kenapa terjunan air yang begitu tidak dimanfaatkan untuk menjana arus letrik dan dengan modal yang sederhana (sekitar RM 1,000) sebuah janakuasa letrik berkapasiti 100 watt dapat dihasilkan dan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat sesebuah kampong dengan kadar yang murah, malah mungkin tidak perlu bayar kalau ada yang sanggup membiayai ongkos pengendalian sesebuah janakuasa air yang sedemikian. Dengan kadar letrik yang semakin lama semakin naik, ini merupakan suatu alternatif yang boleh difikirkan.

Wednesday 19 May 2010

Psychological Inertia (Inersia Psikologi)

Inersia Psikologi dan kesannya terhadap Percambahan Minda Inovatif

Inersia Psikologi menangani tentangan terhadap perubahan yang disebabkan oleh faktor manusia. Inersia ini melahirkan banyak masaalah terhadap percambahan minda yang inovatif dalam proses penyelesaian masaalah. Ini berkaitan dengan apa yang penah dipelajari atau dialami seseorang sebelum ini, pantang larang yang pernah dia hadapi dalam bentuk undang-undang, peraturan dan amalan harian.

Dia akan menentang perubahan kerana belum pernah dia berfikir ke arah itu atau dia pernah diindoktrinasi oleh berbagai media sama ada media cetak atau elektronik sehingga minda rasionalnya menjadi kabur tentang kebenaran. Inersia ini akan membentuk perbatasan dan halangan-halangan dalam pemikiran seseorang.

Otak kita seolah-olah telah disambung terus kepada suatu pencarian “Apakah ini pernah saya lihat?” atau “Apakah ini pernah saya alami?” dan sebagainya ketika kita ingin mencuba untuk menyelesaikan suatu permasaalahan yang baharu atau suatu persoalan yang belum pernah diselesaikan selama ini. Kalau kita boleh mengatasi inersia psikologi ini alangkah mudahnya kita menjalani proses percambahan minda dalam sesebuah proses penyelesaian masaalah.

Sebagai contoh, apabila kita ditunjukkan sebuah gambar maka yang pertama terlintas di fikiran kita ialah apakah kita pernah melihat gambar ini. Otak kita akan cuba mengaitkan pengalaman lalu dengan apa yang dihadapi dan melihat apakah kita dapat cernakan daripada gambar yang diberikan. Dalam sebuah gambar mungkin ada beberapa gambar lain yang kita tidak boleh melihat kerana keterbatasan imaginasi kita. Gambar yang terkenal ialah gambar seorang wanita cantik pada sekali pandang, namun apabila kita amati secara lebih mendalam pada gambar wanita cantik itu terselit gambar seorang perempuan tua. Di sini kita memerlukan kemahiran memerhati yang tajam.

Beberapa kajian telah dilakukan untuk mencari kaitan antara aras kreativiti dengan umur. Didapati bahwa puncak kreativiti berlaku antara umur 14 hingga 30 tahun. Selepas umur 30 tahun aras kreativiti akan menurun. Menjadi harapan penulis agar dengan menggunakan Kaedah Penyelesaian Masalah Secara Inovatif ini remaja, belia dan pelajar-pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga ke peringkat universiti dapat dibangkitkan daya kreativiti mereka secara inovatif. Melalui cara ini negara kita dapat membangun dalam acuan kita sendiri berdasarkan lunas-lunas Islam yang tulen dan diredhai Allah s.w.t.

Sesungguhnya peranan inersia psikologi (hambatan psikologi) yang mengaitkan antara fungsi otak dengan pengalaman dan pengetahuan dalam diri seseorang akan menjadi ketara melalui proses penyelesaian masaalah. Hambatan psikologi ini sebenarnya menjadi batu penghalang kepada kelahiran kreativiti baru dan penyelesaian alternatif. Pada akhirnya hambatan psikologi itu membantut pencapaian keadaan ideal yang ingin kita raih. Penggunaan TRIZ (Kaedah Penyelesaian Masaalah Secara Inovatif) dalam menjana proses percambahan minda secara sistematik akan membantu pengamal-pengamalnya mencari berbagai-bagai alternatif bagi menyelesaikan sesuatu masaalah yang dihadapi.

Semoga kaedah ini akan membantu kita semua dalam menyelesaikan apa saja masaalah yang kita hadapi secara kreatif, proaktif dan inovatif.

Dalam perbincangan berikutnya kita akan huraikan secara lebih mendalam mengenai 39 parameter sistem dan 40 prinsip inovatif. Parameter dan prinsip-prinsip tersebut boleh diubahsuai mengikut keperluan masing-masing bidang kerana semua itu hanyalah teori dan kreativiti manusialah yang dapat memantapkannya. Semoga anda terus membacanya.

Saturday 15 May 2010

TRIZ - Penyelesaian Masalah Secara Inventif

Pendahuluan

Istilah TRIZ (Teoriya Resheniya Izobreatatelskikh Zadatch) saya kekalkan kerana, selain kaedah ini berasal dari Russia, ianya juga telah begitu terkenal di seluruh dunia. Dalam Bahasa Inggeris ialah “Theory of Inventive Problem Solving” dan dalam Bahasa Melayu saya terjemahkan menjadi Penyelesaian Masalah Secara Inventif. Mungkin ada yang bertanya kenapa saya menggunakan Bahasa Melayu dalam menulis tajuk ini? Sebenarnya saya ingin sekali menceritakan semula semuanya ini dalam Bahasa Ibunda agar boleh difahami secara mendalam dan ianya akan menjadi sebuah karya dalam bahasa sendiri.

Juga ingin saya masukkan pandangan Islam dalam persoalan penyelesaian masalah, inovasi, kreativiti dan sebagainya agar apa yang kita lakukan tidak lari dari sudut pandang Islam dan mudah-mudahan ianya bernilai ibadah dari pandangan Allah s.w.t. Pada hakikatnya semua ilmu berasal dari Allah dan manusia tidak upaya menandingi ilmu Allah. Secara kebetulan orang Rusia yang mula-mula mengemukakan persoalan ini tapi kajian kita belum berakhir kerana mungkin saja ada sarjana Islam lampau yang telah mengemukakan idea yang sama tapi dalam konteks yang lain dan bacaan kita belum sampai ke situ. Mudah-mudahan ada penemuan yang lebih unggul dalam khazanah ilmu Islam dalam persoalan yang kita kemukakan ini.

Ketika menulis semula TRIZ ke dalam Bahasa Melayu, saya merujuk buku “TRIZ – Systematic Innovation in Manufacturing” karya Dr. Yeoh Teong San, Yeoh Tay Jin dan Song Chia Li, terbitan First Fruit Publishing Sdn Bhd, keluaran tahun 2009 sebagai buku rujukan utama dan lain-lain rujukan yang disenaraikan dalam bahagian rujukan nanti.

Dalam tahun 1940an, Jurutera Paten Rusia bernama Genrich Altshuller mendapati bahwa masaalah, penyelesaian dan corak evolusi teknikal berulang merentasi sains dan industri. Ini berdasarkan kepada sebuah kajian terhadap 200,000 paten yang kemudian difokuskan kepada 40,000 paten yang inovatif. Inovasi-inovasi ini menggunakan kesan saintifik di luar daripada bidang di mana sesuatu masaalah itu timbul.
Terdapat beberapa penemuan yang menarik seperti yang diceritakan oleh Altshuller (2002). Didapati bahwa sistem-sistem kejuruteraan bertambah maju menghampiri kesempurnaan dengan mengatasi kontradiksi-kontradiksi dalaman. Evolusi sistem-sistem kejuruteraan ini dipacu oleh hukum bermatlamat. Terdapat corak-corak tertentu bagi membantu perkembangan sistem-sistem kejuruteraan selanjutnya dengan mengkaji tren sesuatu peristiwa itu berlaku.

Masaalah dalam suatu sistem mungkin berulang dalam sistem-sistem yang lain, jadi penyelesaian yang sudah digunapakai dalam sistem-sistem yang lain dapat dicuba untuk sistem-sistem baru. Pati bagi semua penyelesaian itu dipadukan dalam empat puluh (40) prinsip-prinsip yang inventif. Satu per satu prinsip tersebut akan dihuraikan agar kita dapat menggunakannya dalam kehidupan sehari-hari. Satu lagi penemuan yang menarik ialah sifat inventif dalam diri sesorang dapat diajar atau dipelajari oleh sesiapa saja.

TRIZ ialah suatu filosofi, suatu proses, dan juga suatu siri alat-alat yang berasaskan konsep menyelesaikan percanggahan- percanggahan. Percanggahan kejuruteraan adalah persoalan asas dalam banyak isu yang terdapat kini yang memerlukan tolak ansur (compromise) atau “trade-off” bagi mengimbangi antara sifat-sifat yang semakin membaik dan sifat-sifat yang semakin memburuk. Inilah yang berlaku dalam persekitaran sektor pembuatan dan lain-lain kini dan kita terpaksa hidup dalam keadaan yang sedemikian namun dengan kemajuan teknologi dan penggunaan alat yang terlalu dipaksakan, alat-alat itu lama kelamaan akan rosak dan makin memburukkan keadaan. Dalam persekitaran pembuatan kita akan meliputi sebarang jenis industri yang menggunakan alat dalam proses pembuatan. Konsep percanggahan dan bagaimana kita menyelesaikan percanggahan tersebut akan disentuh dalam perbincangan seterusnya.

Percambahan minda dan had-hadnya

Ramai menyedari bahwa proses penyelesaian masaalah biasanya menggunakan cara percambahan minda (brainstorming). Sekumpulan pakar akan bertemu dan akan mencambahkan minda bagi mencari penyelesaian bagi sesuatu masaalah. Kaedah percambahan minda ini ada hadnya kerana kualiti dan keberkesanan penyelesaiannya sangat bergantung kepada siapa yang hadir dalam sesi percambahan minda tersebut. Penyelesaian yang baik dan tepat akan lahir jika terdapat pakar yang berilmu dan berpengalaman dalam sesi percambahan minda tersebut, jika tidak kita akan menghasilkan penyelesaian yang kurang tepat dan kadang-kadang salah. Walau pun sesuatu sesi percambahan minda itu dihadari oleh pakar-pakar namun kita masih juga menghadapi apa yang kita sebut sebagai “Psychological Inertia”, suatu keadaan penolakan kepada perubahan kerana manusia sudah biasa dengan sesuatu kaedah dan mereka enggan untuk berubah dengan memberi alasan takut terjadi ini dan terjadi itu jika sesuatu penyelesaian itu dilakukan.